Tuesday, 4 October 2011

AKTIVITI 2 (BAB 4)

·               Pilih satu nilai murni dan satu topik sains
·               Huraikan bagaimana guru sains boleh menerapkan nilai murni itu semasa mengajar sains?

Topik: Kesan-kesan penghasilan tenaga nuklear.

Penggunaan tenaga nuklear merupakan isu yang menjadi kontroversi sejak dari dulu lagi. Terdapat banyak perbahasan mengenai risiko-risiko radioaktiviti, kemalangan dan pengurusan sisa radioaktif. Salah satu contoh bahan radioaktif ialah uranium. Apabila uranium menjalani proses pembelahan, radiasi akan meningkat dan sisa bahan api adalah sangat radioaktif. Radiasi boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius kepada manusia. Radiasi tahap rendah boleh menyebabkan kematian sel, mutasi genetik, kanser dan kecacatan semasa kelahiran. Kebanyakan  Negara terpaksa menggunakan tenaga nuklear kerana sumber tenaga utama seperti bahan api fosil dan arang batu hampir habis.

Nilai Murni: Mencintai Alam Sekitar

Semasa proses pembelajaran, pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu pencadang dan pembangkang. Dalam kumpulan tersebut pelajar dibahagikan lagi kepada beberapa kumpulan kecil yang terdiri daripada 4 atau 5 orang. Setiap kumpulan kecil akan menjana satu poin mengenai kesan-kesan penggunaan tenaga nuklear terhadap manusia dan alam sekitar. Kemudian mereka akan berbahas mengenai topik yang dipelajari setelah masa yang diperuntukkan tamat. Melalui aktiviti ini pelajar dapat mengetahui kebaikan dan keburukan penghasilan tenaga nuklear. Selain itu juga aktiviti ini dapat menjana idea sendiri berkaitan topik tenaga nuklear.

Selepas aktiviti itu, guru menayangkan video dan gambar mengenai tragedi letupan nuklear seperti tragedi Chernobyl dan gambar kesan selepas berlakunya kejadian tersebut. Melalui video dan gambar ini pelajar boleh menilai sendiri kesan-kesan negatif penggunaan tenaga nuklear dan juga kesan kepada alam sekitar.





Kesimpulan:

Melalui proses pembelajaran seperti di atas, pelajar dapat melihat kesan buruk tenaga nuklear jika tidak dikendalikan dengan betul. Kesedaran pelajar tehadap kesan-kesan buruk yang ditunjukkan oleh guru sangat penting agar nilai murni seperti mencintai alam sekitar dapat diterapkan dalam diri pelajar. Pelajar dapat menilai sendiri kebaikan dan keburukan yang akan berlaku kepada alam sekitar dan benda hidup jika tenaga tersebut disalahgunakan dan tidak diurus dengan sempurna.

Bumi semakin kekurangan sumber bahan api utama iaitu bahan api fosil dan arang batu. Sumber ini pula adalah jenis yang tidak boleh diperbaharui, oleh itu manusia mula mencari sumber alternatif yang lain yang boleh digunakan dalam masa yang singkat. Tenaga nuklear merupakan salah satu daripada sumber tenaga yang popular, yang mana kesannya pula amat buruk jika tidak diurus dengan cermat.

Namun jika manusia mula berjimat-cermat mulai dari sekarang, kita dapat menyimpan sumber yang ada sekarang untuk beberapa puluh tahun lagi. Oleh itu, jika kita mencintai alam ini maka mulalah berjimat-cermat dalam penggunaan tenaga agar sumber tenaga utama dapat dijimatkan dan sementara itu, saintis dapat mengkaji cara yang lebih selamat untuk menghasilkan tenaga alternatif lain seperti tenaga solar, tenaga hidro, dan banyak lagi.


No comments:

Post a Comment